teks bergerak

@ Selamat Datang @ Welcome @ ترحيب @ 欢迎 @ நல்வரவு @ ยินดีต้อนรับ @ Maligayang Pagdating @ ようこそ @ 환영 @ добро пожаловать @ chào mừng @ Benvenuto @ Bienvenue @ boas-vindas @

Wednesday, 16 November 2011

Penanaman Sayuran Guna Teknologi Fertigasi

Sistem Tanaman Fertigasi
Fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation. Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan diberikan serentak kepada tanaman. Fertigasi tergolong dalam kumpulan hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah


Perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation. Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan diberikan serentak kepada tanaman. Fertigasi tergolong dalam kumpulan hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah. Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya tomato, cili, timun, terung, melon dan strawberi.


Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya dibawa oleh tanah. Selain daripada itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak polibeg.

Kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi mampu membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran. Air dan larutan baja diberikan secara berkala setiap hari. Larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar tanaman.

Teknologi sistem fertigasi ini paling praktikal dibuat di bawah Struktur Pelindung Hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam tidak mudah dijangkiti oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang disebabkan oleh percikan hujan. Selain daripada melindungi tanaman daripada jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan mengakibatkan pertumbuhan pokok terjejas dan hasil merosot.

Petua Mencuci Pakaian

1.             Gula-gula Getah Melekat Pada Pakaian
Letakkan pakaian tadi dalam peti sejuk beberapa jam. Kemudian keluarkannya. Basuh seperti biasa dan anda akan dapati gula-gula getah mudah ditanggalkan dari pakaian.

2.             Pakaian Terkena Dakwat
Bancuh sedikit susu dengan sedikit air. Biarkan ianya pekat. Celup dan rendamkan pakaian yang terkena dakwat tadi ke dalam bancuhan susu tersebut selama 20 hingga 25 minit. Kemudian basuh dan bilas pakaian itu seperti biasa. Titiskan air limau yang bercampur dengan garam pada tanda dakwat dan gosok-gosoklah dengan tangan. Biarkan ia seketika sebelum membasuhnya seperti biasa.
Picitkan penyembur rambut pada pakaian tersebut. Biarkan ia kering sebentar. Kemudian sapukan pula air yang bercampur cuka. Berus dan basuhlah seperti biasa.

3.             Pakaian Terkena Karat
Potong dua biji limau. Gosokkan pada bahagian yang terkena karat. Kemudian rendamkan dengan air garam. Setelah itu, basuh pakaian itu seperti biasa.

4.             Hilangkan Getah Pisang Pada Pakaian
Sapukan sedikit kapur makan dan biarkan selama beberapa minit. Kemudian barulah dicuci seperti biasa.

5.             Pakaian Terkena Cat
Rendamkan pakaian itu bersama minyak tanah. Biarkan ia selama beberapa jam. Kemudian basuh dengan air sabun, berus dan bilas seperti biasa.

6.             Membersihkan Tekat Benang Emas
Sulaman daripada benang emas amat sukar dibersihkan. Untuk mengatasinya, taburkan sedikit serbuk soda bikarbonat. Kemudian gosoklah perlahan-lahan.

7.             Memutihkan Kain
Kain putih yang lama disimpan akan menampakkan warna yang kusam dan tidak berseri.
Cara untuk mengembalikan serinya ialah dengan cara :-
o   Bakar pelepah kelapa sehingga menjadi abu.
o   Campurkan dengan air.
o   Masukkan sabun dan rendamkan kain tersebut semalaman.
o   Kemudian cuci kain tersebut seperti biasa.

8.             Menanggalkan Kesan Minyak Hitam Pada Pakaian
Titiskan beberapa titik minyak tanah dan sapukan pada bahagian yang hitam. Gosok perlahan-lahan supaya ianya tidak merosakkan pakaian tersebut. Biarkan ia sebentar. Kemudian perahkan air limau nipis atau limau kasturi. Setelah itu, basuh dengan air sabun dan bilas seperti biasa.
Basahkan kain dan sapukan sabun mandi di tempat yang ada kesan hitam. Kemudian cucilah seperti biasa dan ulang beberapa kali sehingga kesan hitam itu hilang.

9.             Mengeringkan Kasut Sekolah
Gumpal beberapa helai kertas surat khabar dan sumbatkan ke dalam kasut sekolah sehingga padat. Kemudian letakkan ia di bawah peti sejuk.

10.         Menghilangkan Darah Pada Pakaian
Gosokkan sabun mandi pada pakaian, bairkan seketika. Selepas itu basuh pakaian itu seperti biasa. Insya-Allah darah itu akan hilang nanti. Campurkan garam kasar dengan air. Rendamkan pakaian yang terkena darah ke dalam air tersebut. Biarkan semalaman. Kemudian cucilah seperti biasa.

11.         Menghilangkan Karat Besi Pada Pakaian
Basuh kain dengan garam yang dicampur dengan air limau nipis. Cuci di tempat yang terkena karat. Kemudian basuh seperti biasa. Sapukan sabun mandi sehingga menutupi kawasan yang berkarat. Kemudian perahkan limau nipis atau limau kasturi ke atas kesan karat itu. Biarkan ia seketika dan basuh dengan air sabun seperti biasa.

12.         Menghilangkan Minyak di Kain
Basuh kain tersebut dengan air sabun, perah dan jemurkan sehingga kering. Kemudian bilas sekali lagi dan jemur semula. Ulang sehingga anda nampak perubahannya.

13.         Mengekalkan Warna Pakaian
Rebus dua biji kentang, hancurkan dan gaulkan dengan sedikit garam serta sedikit cuka. Selepas itu masukkan pakaian tadi ke dalam campuran tersebut dan biarkan selama 30 minit. Kemudian cuci seperti biasa.

14.         Mengekalkan Warna Kain Batik
Rendamkan kain batik anda yang baru dibeli ke dalam bancuhan air teh selama 20 minit. Kemudian bilas sehingga bersih tanpa menggunakan sabun. Ramas daun betik dengan air. Kemudian rendamkan kain batik yang baru dalam air tersebut semalaman.

15.         Menaikkan Seri Kain Sutera
Sebelum digosok, masukkan ke dalam peti sejuk dan biarkan semalaman. Keesokkan harinya barulah boleh digosok. Pasti hasilnya nanti sungguh memuaskan. Baju anda akan kelihatan baru dan berseri.

16.         Melancarkan Perjalanan Zip
Jangan gelisah sekiranya zip seluar, baju atau beg pakaian anda tidak selancar dahulu. Cara yang paling mudah untuk melancarkan perjalanan zip ialah dengan menggosokkan lilin pada zip itu. Insya-Allah, zip itu akan kembali lancar.

17.         Mengilatkan Kasut Kulit
Ambil sedikit ubat gigi dan letakkan (calitkan) pada kapas atau tisu. Kemudian gosoklah pada kasut kulit anda sehingga bersih dan berkilat.

18.         Mencuci Beg Tangan Jenis Kulit
Calitkan ubat gigi pada perca kain atau span. Kemudian gosoklah pada keseluruhan beg tangan. Kemudian lapkan pula dengan kain yang bersih. Beg tangan itu tentu akan kelihatan seperti yang baru.

Personalti Huruf Pangkal Nama

Pemilihan huruf pertama pada nama juga adalah penting. Berikut sebagai sedikit panduan.

A.           Ramah dan murah senyuman. Mereka juga pandai menyesuaikan diri dalam pergaulan selain bijaksana dan cerdas.Kelemahannya, sangat mudah berasa hati, dan mudah mengeluarkan kata-kata pedas ketika meluahkan perasaan marah. Meskipun begitu marahnya mudah reda.

B.            Selalu tenang dalam menghadapi masalah yang rumit dan membahayakan dirinya adalah ciri penampilannya. Mereka juga sangat setia dan penyabar, yang menjadikannya amat disenangi dalam pergaulan. Kelemahannya sangat mudah tersinggung.

C.            Ramah dan pandai berbicara.Ini yang menjadikannya popular di kalangan rakan-rakan. Mereka tidak bersungguh dalam bertindak dan selalu menganggap masalah yang dihadapi adalah remeh.

D.           Pendiam, bercakap hanya bila perlu. Sopan, berdisiplin dan kuat bekerja. Kelebihannya itulah yang menghasilkan kejayaan dalam mencapai cita-cita. Kelemahannya adalah selalu bimbang dan sukar mempercayai orang lain.

E.            Pandai dan penuh pertimbangan dalam menjalankan tanggung jawab. Sikapnya periang bila hatinya senang, tetapi suka berdiam diri apabila hatinya gundah dan boleh membuatkan hati orang lain terluka.

F.             Punya pendirian yang teguh, tidak mudah goyah dan keras kepala.Mereka juga sukar memaafkan. Tidak setia dan amat berhati-hati bila berbelanja.

G.           Kerap murung dan bersedih hati. Pendiriannya mudah dipengaruhi. Tekun belajar ketika rakannya bermalas-malasan dan sebaliknya suka bermalas-malasan ketika rakannya sedang tekun.

H.           Mudah simpati, bahasanya lemah-lembut. Tidak pernah melukai perasaan orang lain. Selalu tergesa-gesa dalam melakukan pekerjaan, suka berkhayal dan bercita-cita terlalu tinggi.

I.              Suka memendam perasaan dan permasalahan. Mereka juga mudah merasa curiga dan cemburu terhadap orang lain. Suka menangis.

J.              Ramah dan murah senyuman. Mereka juga pandai menyesuaikan diri dalam pergaulan. Mudah merasa ragu dalam membuat keputusan dan tidak tegas.

K.           Pandai berjenaka. Hari-harinya sentiasa ceria walaupun perasaannya gundah. Kelemahannya suka bercerita rahsia sendiri.

L.            Ramah dan pandai bergaul dan mempunyai ramai kawan. Tidak suka bergosip dan mencampuri urusan orang lain. Amat berhati-hati bila berbelanja. Kelemahannya tidak menepati masa.

M.          Pandai dan kreatif, suka kelembutan dan jika dikongkong, mereka akan memberontak. Senang dijadikan sahabat, kerana mereka tidak berkira. Kelemahannya boros dan keras kepala.

N.           Baik hati dan rapi dalam berpakaian. Mereka suka menghulurkan tangan menolong orang lain tanpa memikirkan balasan. Kelemahannya mudah bersedih hati dan kurang percaya diri.

O.           Serba boleh. Suka memendam perasaan dan permasalahan serta sukar mempercayai orang lain. Akibatnya ramai yang menggapnya sombong dan suka memilih teman.

P.             Pandai berjenaka dan selalu ceria. Punya banyak idea dan sangat kreatif. Sering melakukan sesuatu yang belum dilakukan orang lain. Agak pendendam dan boros.

Q.           Setia dan mudah memaafkan orang lain. Suka meluangkan waktunya untuk kawan-kawan. Keras kepala, sukar diatur dan mudah emosi.

R.            Pendiam dan bercakap hanya bila perlu. Tekun dengan kerja yang disukai dan bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-cita. Suka mengkritik. Dan sukar mengawal bicara ketika marah.

S.             Pandai dan tekun dalam mengejar cita-cita. Tidak suka pada orang yang suka memungkiri janji.Kelemahannya mudah tersinggung selain sukar menahan emosi. Jika sudah emosi marahnya meledak-ledak.

T.             Sangat berdisiplin. Selalu mengerjakan sesuatu menurut aturan buku. Tidak suka mengelamun atau bermalas-malasan. Suka menonjolkan diri selain senang gugup, terutama bila bersalah.

U.           Suka berterus-terang dan menyendiri. Naif baginya merugikan orang lain. Tidak tahan dengan kritikan dan kurang pandai menyusun kata-kata jika berbicara didepan orang ramai.

V.           Tutur katanya lembut dan pemalu. Pandai meyesuiakan diri.Selain itu, mereka juga pandai menguasai orang disekitarnya dengan cerita-cerita yang memikat. Tidak suka berterus terang.

W.          Ramah dan mudah simpati. Sikapnya amat menawan. Punya toleransi yang tinggi dan ringan tangan. Keras kepala dan sukar diatur, tetapi hatinya boleh dilembutkan dengan kesabaran dan kelembutan.

X.           Budi pekertinya halus. Suka melakukan pekerjaan sosial. Mudah tersinggung dan tidak akan berbaik dengan mereka yang menyinggungnya.

Y.           Pendiam dan tidak suka menonjolkan diri. Ramai menganggapnya sombong walaupun sebenarnya mereka adalah sahabat yang baik. Tidak berani mengemukakan pendapat.

Z.            Pandai berjenaka dan menyesuaikan diri dalam pergaulan. Suka disapa terlebih dulu dan gemar menonjolkan diri.

Belajarlah Untuk Berkata 'Cukup'.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan sesungguhnya aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan rasulNya. Selawat berserta salam buat Nabi Junjungan Muhammad SAW yang mempunyai keperibadian mulia & diutuskan sebagai ikutan. Juga buat sekalian muslimin & orang-orang yang beramal soleh...

Minggu lepas saya sempat tonton sebahagian dari sebuah filem yang disiarkan di channel Vision Four. Tajuknya Interstate 60. Pelakon utamanya saya takkenal tapi pelakon tambahannya ramai yang top-top. Salah satu babak yang saya ingat sangat, ialah di awal cerita yang membabitkan pelakon terkenal,Micheal J.Fox. Dalam babak tu, Micheal kelihatan seperti seorang businessman yang sibuk.

Ketika itu dia sedang bercakap-cakap di handphonenya di dalam kereta. Dibelakangnya ada seorang lelaki sedang mengayuh basikal sambil menghisap pipe. Tiba-tiba Micheal buka pintu keretanya dan akibatnya lelaki tersebut terlanggar pintu tersebut dan tergolek. Tengah tergocoh-gocoh dan sibuk mintak maaf tuh, handphone Micheal terlepas dari tangan. Sampai je ke atas jalan,datang satu trailer lenyek handphone. Apa lagi, menyumpah seranah la dia.

Yela... Sebagai businessman, tentu handphone tu alat penting untuknya.Dalam keadaan marah, terkeluar dari mulut Micheal (lebih kurang la...)
"Saya harap ini tak pernah terjadi". Rupa-rupanya lelaki yang bawa basikal tadi ada kuasa magik. Dia mampu ulang balik masa dan mereka kembali ke satu keadaan di mana Micheal masih dalam kereta dan lelaki tadi masih menunggang basikalnya.

Bila tiba hampir ke kereta Micheal, dia berhenti. Tiba-tiba Micheal keluar dari kereta. Kali ni lelaki tadi tak melanggar pintunya seperti sebelum ini. Jadi Micheal terus rancak berbual hinggalah tiba-tiba datang trailer dan melanggar Micheal J. Fox. Lelaki tadi, yang berada di belakang kereta Micheal dan memerhatikan segalanya, bekata "Some people just don't know what to wish for" (Sesetengah orang tak tahu apa yang patut diminta).

Apa kesudahan filem ini saya tak tahu sebab saya tak menontonnya hingga selesai. Tapi saya cukup tertarik dengan perkataan lelaki yang berbasikal tu. Sesetengah orang tak tahu apa yang patut mereka minta. Bukankah hampir kita semua begitu? Dalam filem tadi, Micheal mengharapkan kemalangan tu (basikal langgar pintu keretanya) tak berlaku supaya handphonenya terselamat. Tapi tanpa kemalangan itu, dia pula yang maut. Perasan tak?

Ini satu telefilem fiksyen. Rekaan semata. Tapi perkara ni sebenarnya berlaku dalam kehidupan harian kita. Seringkali kita meminta perkara yang macam-macam seolah-olah itulah yang terbaik untuk kita. Persoalannya, tahukah kita apa yang terbaik untuk kita? Kalau kita dilahirkan miskin, kita sering berdoa untuk menjadi kaya. Hendak mengubah kehidupan, kita kata. Tapi kita pastikah kekayaan itu yang terbaik untuk kita?

Atau kita dilahirkan pendek, atau terlalu tinggi, atau hitam atau berpenyakit. Tentunya kita mengharap-harapkan keajaiban untuk menjadi manusia yang sempurna atau sekurang-kurangnya 'just nice'. Mungkin juga kita terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan orang yang tersayang. Pasti tercalit dalam hati keinginan untuk mengembalikan masa itu supaya kemalangan itu dapat dielakkan dan nyawa orang kesayangan kita juga selamat. Kan?

Persoalannya, adakah apa yang kita perolehi sekarang ini bukan yang terbaik? Adakah Allah itu zalim atau pilih kasih dengan memberi sesetengah orang nikmat manakala setengah lagih azab? Bukankah Allah itu Maha Adil?
Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Bukankah Allah itu Maha Bijaksana? Jika begitu, mengapakah ada sesetengah dari kita yang bernasib malang manakala sesetengah yang lain bernasib baik sepanjang hidup mereka?

Sebenarnya, kita adalah apa yang kita minta (we are what we wish for).Kadangkala tatkala kita berdoa, kita sendiri kurang faham dengan apa yang kita minta. Ada orang berdoa minta selamat. Akan tetapi Allah berikan dia dari sihat jatuh sakit. Dari kaya jatuh miskin. Dari jelita jadi huduh. Bagaimana itu? Itu hanyalah sebagai ujian kesabarannya. Seandainya imannya tetap kuat, insyaAllah dia akan selamat di akhirat kelak.

Selamat juga, bukan? Adakah Allah menolak permintaannya? Tidak! Bahkan Allah meletakkannya ke tempat yang lebih tinggi. Begitu juga dengan keadaan saya baru-baru ini. Hidup dikelilingi hutang lapuk. Pening kepala nak bayar. Interest makin meningkat. Ibu mana yang tak kasihan lihat anaknya susah hati? Satu hari tu ibu saya beritahu saya yang dia tiap-tiap hari berdoa minta saya dapat banyak duit. Dia simpati dengan saya katanya.

Saya katakan kepadanya. Kalau banyak duit, tiap-tiap bulan saya dapat, Alhamdulillah. Saya katakan padanya kalau mahu berdoa untuk saya, berdoalah semoga hutang lapuk saya selesai. Saya beritahunya ketika sebelum Zuhur. Zuhur tu juga dia telah tukar doanya dan Alhamdulillah, petang itu juga saya nampak jalan penyelesaiannya. Doa ibu itu berkat. Sekarang, Alhamdulillah ringan rasanya beban di kepala saya. Maha Suci Allah...

Apabila Allah menentukan sesuatu ke atas kita, percayalah itu adalah yang terbaik. Hanya mata kita yang diseliputi dengan nafsu yang tidak dapat melihat kebaikan yang ada pada sesuatu kejadian. Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah? 'Grass is always greener on the
other side'. Kan? Kita sentiasa melihat apa yang ada pada orang lain itu lebih baik dari apa yang kita miliki.

Sedang Nabi saw telah menasihatkan agar kita melihat orang yang di bawah. Jangan melihat orang lebih tinggi kerana intu akan membuat kita tidak bersyukur. Dan itulah masalahnya pada diri kita. Kita sentiasa mengejar peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Saya sendiri mengalami perkara ini. Dan saya percaya ramai yang turut mengalaminya.Siapa yang taknak gaji besar, kan?

Masa saya grad, ekonomi negara benar-benar sedang menjunam. Saya ke hulu ke hilir mencari kerja. Akhirnya saya bekerja sebagai operator di kilang metal stamping. Gaji RM400 sebulan. Tiada OT. Tolak itu, tolak ini, dapatlah RM350. Hm... Cukup? Dah tentu tidak. Ketika itu saya hanya memiliki sebuah motor Yamaha 110SS hadiah ayah sempena dia dapat EPF. Isi minyak dengan makan dah habis. Ketika itu saya fikir, dapat gaji RM750 pun jadilah.

Kemudian saya bekerja sebagai Lab Technician. Betul-betul saya dapat RM750. Cukup? Tak juga. Masa tu saya mula terfikir. Dapat gaji RM1500 pun dah cukup. Allah tunaikan lagi. Bekerja pula di petrochemical plant. Sebagai trainee, dapat la RM1500 sebulan. Ya Allah... tak cukup juga. Sebab masa tu saya dah beli kereta Iswara. Saya fikir, dapat RM2500 cukup la. Tapi bila dapat banyak tu, saya tukar kereta pula. Kesimpulannya tak cukup juga!

Memang takkan cukup. Nafsu itu adalah benda yang paling besar! Sekarang,ketika kawan-kawan saya berlumba masuk syarikat lain yang offer gaji 2 - 3 kali ganda, saya tetap di sini. Kalau ada yang bertanya kenapa saya tak ikut mereka, senang saya katakan. Saya selesa di sini. Kalau solat saya panjang, bos tak pernah marah. Sedang rakan-rakan saya di syarikat baru dibenarkan solat hanya dalam masa 5 minit sahaja.

Kini saya dah pandai mengatakan cukup. Cukuplah sebanyak ini yang Allah beri. Sekiranya diberi lebih, Alhamdulillah. Sekiranya semakin kurang, semoga Allah perkuatkan iman saya menghadapi dugaan mendatang. Yang penting bagi saya, apa yang saya perolehi ini halal dan diberkati. Pesan Nabi saw kepada Saiyidina Ali ra supaya jangan mengira-ngira rezeki untuk hari esok kerana Allah menurunkan rezeki pada tiap-tiap hari. Ini benar-benar terkesan dalam hati saya.

Tapi bukan bererti kita tak boleh mengejar yang lebih baik. Kejarlah dunia seperti akan hidup 1000 tahun lagi. Tapi dunia itu ibarat bayang-bayang. Makin dikejar makin ia lari. Kejarlah akhirat seperti akan mati esok hari. Kerana akhirat itu umpama matahari. Makin kita kejar akhirat (matahari), dunia
(bayang-bayang) akan mengejar kita. Rezeki itu hak Allah maka bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu. Kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada izin dariNya.

Terjadi kepada kenalan saya. Dengan gaji RM1000 sebulan, nak bayar ansuran rumah, nak isi minyak motor yang makin naik, duit lampin anak, duit makan,tinggal pula di JB, memang tak cukup. Sering dia mengeluh. Di tempat kerjanya pula dah lama hadkan OT. Kesian dia. Selalu dia cakap dia nak cari kerja lain. Dah banyak dia apply tapi tak dapat-dapat sebab tiada kelulusan dan umur pun dah makin lanjut.

Atau setidak-tidaknya dapat banyak OT. Saya katakan padanya, besar periuk besarlah kerak. Sekarang dia pakai motor. Kalau gaji besar lagi, mungkin dia pakai kereta. Besar mana pun tetap tak cukup. Tapi... Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Akhirnya Allah tunaikan permintaannya. Tiba-tiba dia dapat banyak sangat OT. Hari-hari balik rumah sampai tengah malam. Langsung tak rehat. Main dengan anak pun 2 -3 minit masa pagi sebelum ke tempat kerja.

Bila jumpa, dia cakap dah penat. Tak larat nak OT. Saya ketawakan dia. Bukankah ini yang dia minta? Ya, katanya. Tapi dia dah tak larat. Hari Ahad je dia dapat rehat. Bila nak main-main dengan anak? Kesian anaknya. Ke masjid pun hari Jumaat saja sekarang ni... Saya katakan padanya, kita tak boleh dapat segala-galanya. Dia nak duit, Allah bagi duit. Tapi dia hilang kehidupan dan masa dengan anaknya. Itu adalah permintaannya. Bersyukurlah Allah telah menunaikan...

Kalau nak dikongsi, terlalu banyak rasanya apa yang saya lalui. Saya pasti,saudara-saudara semua juga ada lalui perkara yang sama. Di sini, bukan niat saya nak mengajar. Bukan juga nak menunjuk pandai. Saya hanya mengajak saudara-saudara sekalian terutamanya diri saya sendiri untuk berfikir. Apa yang kita buru? Apa yang kita cari? Apa yang kita dapat? Berapa kali pernah kita bersyukur dan berapa kali pernah kita katakan cukup?

Cukup atau tidak apa yang kita ada, bergantung kepada cukup atau tidak kita bersyukur ke hadrat Allah. Juga bergantung cukup atau tidak kita tambat nafsu kita. Yang penting tiap kali selepas solat, berdoalah pohonkan Allah berikan yang terbaik buat kita. Nabi saw pernah memberitahu, orang yang tidak berdoa selepas solat adalah orang yang sombong. Dalam hadith yang lain, Baginda saw berkata orang yang sombong adalah syirik kerana hanya Allah yang layak untuk bersifat sombong. Wallahu'alam...

Ya Allah! Ampunkanlah kami ya Allah. Selama ini kami leka. Selama ini kami lalai dalam mengejar nikmat dunia hingga kami lupa janji nikmat syurga Mu.Cukupkanlah kami dengan apa yang Kau beri. Dan jadikanlah kami insan yang tahu bersyukur. Amin... Ya Rabbal 'Alamin...

Akhir kata, berlajarlah untuk berkata cukup.....

Hidroponik

APAKAH HIDROPONIK?

Hidroponik ialah satu kaedah penanaman sayur-sayuran yang tidak menggunakan tanah.


KELEBIHAN HIDROPONIK

Hidroponik ini mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan sistem penanaman biasa yang menggunakan tanah seperti berikut:

  • Sistem ini boleh dipraktikkan pada kawasan yang tidak sesuai untuk penanaman secara biasa seperti tanah bertoksik, padang pasir dan lain-lain;
  • Sayur-sayuran akan cepat tumbuh dan mengeluarkan hasil yang berkualiti tinggi;
  • Bersih dan bebas daripada sebarang racun makhluk perosak;
  • Tidak perlu merumpai, menyiram dan mencangkul;
  • Penggunaan air dan baja yang terkawal dan efisien;
  • Pulangan hasil seunit kawasan bagi seunit masa adalah tinggi.


KAEDAH HIDROPONIK

a.       Sistem Pengaliran Nutrien

Kaedah hidroponik memerlukan perbelanjaan agak rendah jika dibandingkan dengan kaedah biasa bagi mendapatkan alat-alat seperti berikut:

                    i.            Pam air untuk aknarium.
                  ii.            Tempat tanaman (diperbnat daripada paip PVC, dulang plastik dan bahan-bahan lain seperti kayu, papan lapis, tin besi, yang perlu dialas dengan kepingan plastik yang tebal).
                iii.            Tangki untuk larutan nutrien.
                iv.            Tenaga elektrik.
                  v.            Pasu plastik kecil (jika perlu).


b.      Sistem Takung

Bagi sistem takung punca peralatan berikut adalah diperlukan:

i.     Takung tanaman.
ii.      Penutup (diperbuat daripada polisterin, plastik).
iii.    Pasu plastik kecil (jika perlu).

KAEDAH PENANAMAN

Kedua-dua sistem penanaman di atas boleh menggunakan kaedah penanaman seperti berikut:-


a.       Cara Mengubah:

i.        Semai biji benih menggunakan pasir kasar atau sabut kelapa halus
ii.      Keluarkan anak benih (bersihkan akar anak benih)
iii.    Pindahkan anak benih ke tempat tanaman (Letakkan 1-2 pokok benih untuk satu lubang tanaman. Takung tanaman hannya mengandungi air sahaja.)
iv.    Selepas dua hari baja separuh kepekatan dilarutkan untuk menyokong pokok
v.      Selepas tujuh hari, masukkan baki baja supaya larutan nutrien mencapai kepekatan penuh

  1. Cara Semaian terus

i.        Sumbatkan benang basah dan tarik untuk buat sumbu
ii.      Masukkan dalam lubang tempat tanaman yang mengandungi air
iii.    Semaikan 2-3 biji benih atas benang basah
iv.    Selepas 7-10 hari, masukkan baja (kepekatan penuh) dalam air

*Larutan nutrien perlu ditambah (tertakluk kepada keperluan) sehingga hasil dituai untuk kedua-dua kaedah penanaman.
Larutan Nutrien

Kadar baja yang diperlukan untuk sayur jenis daun jika larutan nutrien disediakan sendiri adalah seperti berikut :-

Baja
Berat
(gram)
Unsur
Kepekatan (bsi)
Ammonium nitrat
75.00
N 300
Kalium fosfat 
40.00
P 80
Kalium nitrat  
32.00
K 320
Kalsium klorida
55.00
Ca 200
Magnesium sulfat
18.00
Mg 36
Besi/Ferum (Fe-EDTA)
3.29
Fe 5
Boron 
0.56
B 1.0
Manganous chloride   
0.18
Mn 0.5
Kuprum sulfat
0.04
Cu 0.1
Zingkam sulfat
0.05
Zn 0.1
Ammonium molybate
trace
Mo trace

Tepung Pelita

Bahan A ( Lapisan Bawah ):
1 cawan santan
1½ cawan tepung beras disatukan (kacau)
½ camca teh garam halus
Gula secukup rasa

Bahan B ( Lapisan Atas ):
1 cawan pati santan
1 cawan tepung beras disatukan (kacau)
½ camca teh garam halus

Cara-Cara:
Panaskan kukusan, bila naik wap masukkan adunan A di dalam acuan empat segi yang dibuat daripada daun pisang. Kukus separuh masak - masukkan satu sudu gula, kukus lagi sehingga separuh beku dan masukkan pula adunan B dan kukus sampai masak.

Pengenalan Kepada Bidang Arborikultur

Arborikultur dalam bahasa yang mudah adalah satu bidang pengurusan penjagaan pokok (plant health care) dalam konteks pemilihan, penanaman dan pengurusannya sebagai elemen landskap dan komponen taman. Bidang Arborikultur telah berkembang luas di negara-negara maju seperti di Amerika dan di Eropah. Di Malaysia, bidang Arborikultur ini baru diperkenalkan pada tahun 2005 menerusi Program Persijilan Arboris.

Arborikultur merupakan suatu gabungan seni dan sains memilih, menanam dan memelihara pokok besar, pokok renek dan Iain-lain tumbuhan berkayu di persekitaran bandar untuk yang ditanam untuk kebaikan manusia. la merupakan suatu cabang hortikultur di dalam sains tumbuhan. Tumpuan diberikan kepada aktiviti penjagaan sesuatu individu pokok atau kumpulan kecil pokok-pokok, berbanding dengan pengurusan hutan bandar yang fokus utamanya lebih kepada pengurusan kumpulan pokok-pokok yang lebih besar melalui amalan arborikultur & silvikultur. Arborikultur diasaskan daripada penyelidikan dan pembangunan, serta bersandarkan biologi pokok.
Arborist merupakan individu yang dilatih secara profesional tentang seni dan sains menanam, memelihara dan menjaga pokok sebagai satu unit. Arborist berkongsi pendapat tentang fungsi pokok dengan Iain-lain professional dan melihat pelbagai kelemahan di dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan pembangunan projek landskap pada masa kini.

Arborikultur mampu menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan dan kepakaran dalam penjagaan pokok kepada masyarakat daripada golongan professional sehinggalah kepada pembuat dasar. Berdasarkan kepada status terkini tahap penjagaan pokok dan isu-isu semasa yang berkaitan, peranan arborist di dalam pembangunan landskap dan pengurusan hutan bandar amat diperlukan.

Piawaian industri penting bagi mengukur kualiti dan prestasi amalan arborikultur. Malaysia belum mempunyai piawaian industri yang berkaitan berbanding dengan negara-negara maju. Isu-isu keselamatan semasa menjalankan kerja penjagaan pokok, prestasi amalan kerja, kualiti pokok-pokok daripada tapak semaian serta kompetensi individu yang menjalankan kerja penjagaan pokok memerlukan piawaian secara khusus di bidang berkaitan.