Islam tidak melarang seseorang itu berhutang, samada sedikit atau banyak. Cuma islam sangat mengambil berat dalam soal pembayaran hutang. Rasulullah S.A.W mengingatkan umatnya bahawa orang yang berhutang terikat dengan pembayaran yang mesti dijelaskan. Seseorang yang meninggal dunia, sedangkan dia masih menanggung hutang, rohnya akan tergantung-gantung
sehinggalah dijelaskan hutangnya. Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W:
"Jiwa orang mukmin tergantung dengan hutangnya, (iaitu tidak dihukum kepadanya selamat atau sebaliknya) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya". (Riwayat At- Tarmizi)
Allah S.W.T memerintahkan supaya kita membuat perjanjian bertulis, dalam urusan hutang piutang, supaya jangan lalai untuk menjelaskannya". Firman Allah S.W.T:
"Wahai orang-orang yang beriman , apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang (yang diberi tempoh) hingga kesuatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu"...... Surah Al-Baqarah ayat 282 .
Muslimin yang mulia, Apabila seseorang itu berhutang, bermakna dia mula meletak kan belenggu dilehernya dan belenggu itu tidak dapat dilepaskan, kecuali hutang tersebut dibayar. Kalau tidak sempat dijelaskan ketika didunia ini, maka hutang tersebut akan terus dibawa kehari pengadilan diakhirat kelak. Ingatlah pesanan rasulullah s.a.w mengenai hal ini dengan sabdanya:
"Dan jauhkanlah diri kamu dari hutang, kerana sesungguhnya awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula adalah mengambil harta orang dengan tidak mengembalikannya". (Riwayat Al-Imam Malik)
Antara perkara yang wajib disegerakan diatas dunia ini, selain menyegerakan pengemubian jenazah dan menyegerakan perkahwinan anak perempuan yang telah dipinang orang, maka hutang-piutang hendaklah segera dibayar. Rasulullah menyatakan, bahawa orang yang mati Syahid pun, tidak terkecuali daripada persoalan tentang hutang. Sabda baginda yang bermaksud:
"Semua dosa orang yang mati Syahid diampuni, kecuali hutangnya". (Riwayat albahari, tarmizi, an-nisa' wa-ibnu majah).
Sesungguhnya melambat-lambatkan bayaran hutang, amatlah besar sekali akibatnya dalam kehidupan manusia. Mereka akan ditimpa kehinaan,hilang maruahnya, tidak mendapat keredhaan Allah S.W.T dan amal kebajikannya tidak diberkati. Mematuhi aku janji yang dibuat semasa berhutang sudah semestinya wajib ditunaikan. Mereka yang tidak menunaikan janji, bererti tergolong dalam perbuatan orang yang zalim.
Allah S.W.T mengingatkan dengan firmannya:
"Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian".
Surah Al-Maidah ayat 1 Sabda Rasulullah S.A.W pula:
"Penangguhan (hutang) oleh orang yang berkuasa membayar, adalah satu
kezaliman". (Riwayat Ibnu Majah)
Rasulullah S.A.W sangat prihatin terhadap umatnya yang berhutang. Dalam sunan Abu Daud daripada sahabat Abu Said Al-Hudri r.a telah berkata: Rasulullah S.A.W pada suatu hari masuk kemasjid madinah. Tiba-tiba kelihatan seorang daripada kaum ansor bernama abu umamah, maka rasulullah s.a.w bersabda:
"Wahai Abu Umamah, mengapa saya lihat kamu duduk dimasjid, lain dari waktu sembahyang?". Jawab Abu Umamah": "Berbagai kesedihan dan kegurasan telah menimpa saya disebabkan hutang-hutang saya". Hendakkah kamu saya ajarkan suatu perkataan, apabila kamu katakannya, nescaya Allah S.W.T akan menghilangkan kesedihan kamu. Dan Allah S.W.T melangsaikan hutang kamu?. Saya kata: "Bahkan ya rasulullah". Maka Rasulullah S.A.W. bersabda:" Hendaklah kamu katakan diwaktu pagi dan petang doa berikut: "Wahai tuhanku, sesungguhnya aku berlindung denganmu daripada perasaan ragu-ragu dan dukacita, aku berlindung denganmu daripada perasaan lemah dan malas. Aku berlindung denganmu daripada penakut dan kedekut. Aku berlindung denganmu daripada dibebani oleh hutang dan dikasari manusia". Kata Abu Umamah :" Saya buat apa yang diajarkan Rasulullah S.A.W. Maka Allah S.W.T menhilangkan perasaan sedih dan kebimbangan saya, dan allah s.w.t tunaikan hutang saya". (Riwayat Abu Daud) Demikianlah perhatiannya rasulullah tentang orang yang berhutang. Alangkah baiknya kalau doa ini kita amalkan setiap hari.
Sesungguhnya amat besar kesalahannya sekiranya kita cuai menjelaskan hutang kita. Ia boleh mengakibatkan lenyapnya segala pahala amal kebaikan bahkan boleh mengheret kita ke neraka. Pernah Rasulullah S.A.W. enggan menyembahyangkan jenazah,apabila diketahui si mati masih berhutang. Sehingga Saidina Ali menjamin untuk membayarnya. Alangkah nikmatnya hidup ini, sekiranya kita dapat menunaikan bayaran hutang seperti yang telah dijanjikan. Alangkah berkatnya rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T kepada kita, sekiranya kita tidak mengabaikan bayaran hutang atau pinjaman daripada pihak-pihak tertentu, walaupun dibayar secara beransur-ansur . Ya allah, engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami ahmat dan nikmat , sehingga kami dapat meneruskan usaha
kearah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri selangor,sebagai
negeri yang maju dan sejahtera. Justeru kami pohon kehadratmu ya allah, tetapkanlah iman kami,tingkatkanlah amal kami,kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanafaat, suburkanlah jiwa kami dengan budipekerti yang mulia,kembalikanlah generasi muda kamikejalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan,kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Sumber : Khutbah Jumaat
No comments:
Post a Comment